Wednesday, December 15, 2010

Masjid patut jadi pusat pembangunan ekonomi ummah

MELAKA: Datuk Seri Najib Razak mengajak umat Islam termasuk golongan belia di negara ini menjadikan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ekonomi ummah dengan memanfaatkan kawasan pekarangan sebagai pusat perniagaan dan aktiviti pembangunan sosial.

Perdana Menteri berkata, masjid yang dibangunkan kerajaan wajar dimakmurkan dengan kegiatan itu, selain menjadikannya pusat perpaduan umat menerusi pendekatan ibadah wajib secara berjemaah di situ.
Beliau berkata, institusi masjid selama ini diakui berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan pengembangan ilmu dengan mewujudkan perpustakaan mini, kelas bimbingan pelajaran, majlis percambahan minda termasuk mengadakan aktiviti perniagaan yang secara langsung berupaya meningkatkan pendapatan masing-masing.

Katanya, kerajaan begitu komited membangunkan institusi masjid untuk kepentingan ummah bagi memenuhi keperluan beribadat umat Islam dan seterusnya menegakkan syiar Islam di Malaysia.

“Kebijaksanaan kita mengendalikan aktiviti seumpama itu di masjid menunjukkan umat Islam berjaya mengimarahkan masjid dengan pelbagai program bermanfaat dan mengekalkan fungsi tradisinya sebagai tempat kita menunaikan ibadah kepada Allah dan pada masa sama, boleh dianggap sebagai usaha menghargai pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Masjid Sayyidina Ali, di Bukit Katil, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wira Omar Kaseh, Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu dan Mufti Kerajaan negeri, Datuk Wira Rashid Redza Mohd Salleh.

Masjid berharga RM6 juta yang siap dibina April lalu dan boleh menampung 2,500 jemaah itu juga dikenali sebagai Masjid Daerah Melaka Tengah.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa pertubuhan anak yatim sekitar negeri ini dan mesin dialisis kepada Jabatan Kesihatan Negeri.

Terdahulu, Najib yang tiba jam 1 petang bersama Mohd Ali dan Ahli EXCO kerajaan negeri bersama lebih 2,000 jemaah menunaikan solat Zuhur dan sempat meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk sekitar Bukit Katil.

No comments:

Post a Comment